Wednesday, 22 February 2012

Sedikit Perkongsian mengenai Bayi Tabung Uji dan Penyewaan Rahim

PENYEWAAN RAHIM ATAU IBU TUMPANG.
1.0 MUQADIMMAH.
Penyewaan rahim atau ibu tumpangan merupakan istilah baru dalam peradaban dunia moden. Permasalahan ini mengancam naluri keibuan wanita dengan mengekplotasi mereka melalui manifestasi membantu pasangan mandul. Penemuan teknologi perubatan ini turut memberi cabaran dan menyentuh sensitivity kemuliaan manusia.

Zuriat ialah kurniaan Allah yang di berikan kepada siapa yang Dia kehendaki. Ada orang sudah ditentukan tidak mendapat anak dalam perkahwinannya. Ketentuan ini mempunyai hikmah tersirat yang hanya di ketahui oleh Sang Pecipta yakni Allah Jala Wa’ala. Walaubagaimanapun, ketentuan, menggalakkan hambaNYA beriktiar bagi menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.
Namun begitu penyelesaian yang di lakukan haruslah menepati spesifikasi yang di tetapkan oleh syariat islam. Nasab keturunan dalam syariat islam bukan suatu anugerah yang boleh di kongsi-bahagi sesuka hati. Nasab keturunan tidak boleh di susun atur  oleh manusia kerana ia adalah hak Allah secara mutlak.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Dan Dialah Tuhan yang menciptakan manusia daripada air, lalu dijadikannya mempunyai titisan baka dan pertalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya Tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendakiNYA).”
[Al-Furqan, Chapter 25, Verses 54]


1.1 TAKRIF IBU TUMPANG.
Menggunakan rahim wanita lain untuk mengandungkan benih wanita yang telah disenyawakan dengan benih lelaki (kebiasaannya suami isteri), dan janin itu dikandung oleh wanita tersebut sehingga dilahirkan. Kemudian anak itu diberikan semula kepada pasangan suami isteri itu untuk memeliharanya dan anak tersebut dikira anak mereka dari sudut undang-undang.

Kaedah ini dikenali dengan sewa rahim kerana lazimnya pasangan suami isteri yang ingin memiliki anak ini akan membayar sejumlah wang kepada ibu tumpang atau syarikat yang menguruskan kerja mencari ibu tumpang yang sanggup mengandungkan anak percantuman benih mereka dan dengan syarat ibu tumpang tersebut akan menyerahkan anak tersebut setelah dilahirkan atau pada masa yang dijanjikan.Penyewaan rahim dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai ‘surrogate mother’

1.2 PENYEWAAN RAHIM MENGIKUT HUKUM FIQH.
SEBAB-SEBAB PENYEWAAN RAHIM
Penyewaan rahim berlaku atas beberapa sebab:-
- Keadaan seseorang wanita yang mempunyai rahim yang lemah dan tidak berupaya menyempurnakan kandungan.
-Wanita yang menghidap penyakit yang menyebabkan kematian janin sebelum sepurna kandungan, atau pernah menjalani pebedahan yang kerap sehingga berisiko kehilangan nyawa sekiranya mengandungkan anak.
-Kehidupan yang mewah sehingga tidak sanggup menanggung beban kesakitan mengandung, melahirkan anak dan berpantang. Demikian juga dengan wanita yang enggan hamil kerana ingin mengekalkan kecantikan diri yang mungkin terjejas selepas melahirkan anak.
-Meraaikan keturunan untuk kegiatan hara, dengan menjadikan anak-anak sebagai penghibur kelab malam (GRO).

 
1.3 BENTUK-BENTUK IBU TUMPANG DI LAKUKAN.

Bentuk pertama:
Benih isteri disenyawakan dengan benih suami,kemudian dimasukkan ke dalam rahim wanita lain. Kaedah ini digunakan dalam keadaan isteri memiliki benih yang baik , tetapi rahimnya dibuang kerana pembedahan , kecacatan yang teruk, akibat penyakit yang kronik atau sebab-sebab yang lain.

     Bentuk kedua:
Sama dengan bentuk yang pertama, kecuali benih yang telah disenyawakan dibekukan dan dimasukkan ke dalam rahim ibu tumpang selepas kematian pasangan suami isteri itu.

     Bentuk ketiga:

Ovum isteri disenyawakan dengan sperma lelaki lain (bukan suaminya) dan dimasukkan ke dalam rahim wanita lain.Keadaan ini apabila suami mandul dan isteri ada halangan atau kecacatan pada rahimnya tetapi benih isteri dalam keadaan baik.

     Bentuk keempat:
Sperma suami disenyawakan dengan ovum wanita lain , kemudian dimasukkan ke dalam rahim wanita lain. Keadaan ini berlaku apabila isteri ditimpa penyakit pada ovari dan rahimnya tidak mampu memikul tugas kehamilan, atau isteri telah mencapai tahap putus haid (menopause).

     Bentuk Kelima :
Sperma suami dan ovum isteri disenyawakan , kemudian dimasukkan ke dalam rahim isteri yang lain dari suami yang sama. Dalam keadaan ini isteri yang lain sanggup mengandungkan anak suaminya dari isteri yang tidak boleh hamil.


1.4 HUKUM SYARAK TERHADAP PENYEWAAN RAHIM.
Islam tidak mengharuskan penyewaan rahim berdasarkan beberapa perkara:
-Tiada ikatan perkahwinan antara empunya sperma dengan ibu tumpangan.
-Bagi menghasilkan zuriat yang halal di sisi syariat, perlu ada ikatan perkahwinan yang sempurna meliputi segenap rukun dan syarat antara lelaki dan perempuan.

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus rasul-rasul sebelummu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan”
[Ar-Rad, Chapter 13, Verses 38]

Firman Allah lagi yang bermaksud:
“Dan Allah menjadikan pasangan-pasangan (isteri) bagimu dari golongan sejenis denganmu dan dijadikan daripada pasangan kamu; anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu rezeki yang baik-baik lagi halal. Maka patutkah mereka (yang ingkar) itu percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala) dan mereka kufur pula akan nikmat Allah”
[An-Nahl, Chapter 16 , Verses 72]

Dalam ayat di atas, Allah menegaskan bahawa ikatan perkahwinan yang menghasilkan keturunan merupakan suatu nikmat kurniaan-Nya yang wajib disyukuri. Nilai syukur pula terhasil daripada kepatuhan terhadap suruhan-Nya. Oleh itu anak yang terhasil tanpa ikatan perkahwinan adalah bercanggah dengan syariat.

Kesimpulan kepada permasalahan ini, perempuan yang menjadi ibu tumpangan tidak mempunyai sebarang hubungan yang mengharuskan lelaki empunya sperma bersetubuh dengannya. Maka, penggunaan rahim perempuan asing untuk mengandungkan anak hasil persenyawaan sperma dan ovum pasangan suami isteri lain tidak diharuskan syarak.


1.5 PANDANGAN PARA ULAMA MENGENAI IBU TUMPANG.

Para Ulama’ bersepakat tentang pengharaman ibu tumpang dalam keadaan berikut :

     -menggunakan rahim wanita lain selain isteri.

     -percampuran benih antara suami dan wanita lain.

     -percampuran benih isteri dengan lelaki lain,

   -Memasukkan benih yang disenyawakan selepas kematian suami isteri,melainkan satu bentuk penyewaan rahim yang ulama’ berselisih pendapat tentang pengharusannya yang akan dibincangkan nanti.

Antara ulama yang berpendapat haram menggunakan ibu tumpang:-

    1.Sheikh Mahmud Shaltut:
(Dirasat Fiqhiyyah Mu’asirah,Kaherah, Universiti Al-Azhar)
     Persenyawaan benih wanita dengan benih lelaki ajnabi pada sisi syariah adalah jenayah mungkar dan berdosa besar seumpama zina pada sudut prinsip dan kesannya yang sama iaitu meletakkan mani lelaki ajnabi dengan niat mendapat anak sedangkan antara wanita dan lelaki itu tiada ikatan perkahwinan.

     2. Syeikh Prof. Dr. Mohammad Ra’afat Othman:
     Perbuatan meletakkan sperma di dalam rahim perempuan yang tiada ikatan pernikahan bukan zina, tetapi perbuatan itu sinonim dengan zina. Walaupun benih yang dimasukkan ke dalam rahim seseorang perempuan itu kepunyaan pasangan suami isteri yang sah, larangan untuk memasukkan benih ke dalam rahim perempuan yang bukan isteri tetap tidak berubah. Syariat mengharamkan setiap perkara yang boleh membawa kepada kekecohan dan perselisihan anatara manusia.

     3. Syeikh Dr Yusuf Al-Qardawi:
     Beliau mengulas pandangan mengenai masalah ibu tumpangan yang kian menular di Barat dengan memberi kritikan yang berbentuk sinis. Beliau menyatakan apakah dengan tidak berpantang, mengidam serta melalui perit getir melahirkan, dia (wanita) layak digelar sebagai ibu. Cukuplah hanya mempertaruhkan sel telur yang di tumpangkan sebagai sewaan. Walaupun sel telur itu penting untuk menghasilkan genetic tetapi ia tidak cukup meghasilkan nilai keibuan. Beliau mengatakan nama ibu itu di ambil daripada perkataan arab walidah yang bererti perempuan yang melahirkan. Manakala anak adalah awlad yang bererti di lahirkan. Ini bertepatan dengan;

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:
“Dan kami wajibkan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandung dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”
[Luqman, Chapter 41, Verses 14]

Dalam Firman Allah Ta’ala yang lain:
“Orang-orang yang “ziharkan” isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka…….”
[Al-Mujadala, Chapter 58, Verses 2]


Terdapat juga pandangan ulama’ yang mengatakan harus dalam penggunaan ibu tumpang. Namun begitu mereka meletakkan syarat-syarat yang amat ketat. Antaranya:

- hendaklah berhati-hati dalam menggunakan kaedah ini supaya benih tidak bercampur.

- kaedah ini boleh di gunakan dalam keadaan darurah sahaja.

- wanita yang menbuat pensewaan rahim itu hendaklah mempunyai hubungan sah dengan si suami atau lebih mudah kita kata suami itu mempunyai  dua isteri.


Antara ulama’yang mengatakan harus menggunakan ibu tumpang:

1. Dr Muhammad Bakar Ismail (Kaherah, Dar Al-Manar)
     Beliau berpendapat penyewaan rahim bagi bentuk ini adalah harus kerana kedua-dua wanita tersebut adalah isteri bagi suami yang sama dan isteri yang lain secara sukarela mengandungkan anak bagi madunya. Dalam keadaan ini , bapa anak tersebut telah pasti dan ikatan kekeluargaan wujud dalam lingkungan yang baik, begitu juga tidak wujud pencampuran nasab dari sudut suami dan isteri jika sikap berhati-hati diambil kira bagi memenuhi syarat-syarat yang menjamin tidak berlaku percampuran nasab. Oleh sebab itu, Al- Mujamma’ Al-Fiqhi li Rabitoh Al-‘Alam al-Islami secara majority mengharuskan penyewaan rahim bentuk ini dalam daurah ketujuhnya, dengan syarat pengawasan yang betul-betul sempurna agar tidak berlaku percampuran benih, kerana kesilapan dalam percampuran benih dengan yang lain akan member kesan kepada generasi demi generasi.



Adapun ulama mengatakan harus pada sesetengah masalah ini, namun mereka juga turut tidak mengalakkan kita mencubanya hatta mereka lebih cenderung kepada pengharaman secara langsung kaedah ini kerana satu nas yang amat kuat dari;

Hadis Nabi SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya yang halal itu jelas, dan yang haram itu jelas dan di antara keduanya perkara-perkara kesamaran yang tidak diketahui kebanyakan daripada manusia. Barangsiapa yang
menjauhi syubhat (kesamaran), maka dia telah membebaskan agama dan kehormatannya. Barangiapa melakukan perkara kesamaran itu, dia mungkin akan terjatuh kepada perkara yang
haram.Seumpama pengembala yang mengembala berhampiran taman larangan mungkin gembalaannya diragui akan ke sana. Bukankah bagi setiap raja ada taman larangannya? Sesungguhnyakawasan larangan Allah SWT ialah perkara-perkara yang diharamkannya.”
[Riwayat Bukhari dan Muslim]

BAYI TABUNG UJI
2.0 MUQADDIMMAH 
“Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan dia jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada di dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seprang pun yang dapat mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau buruk) . dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati.”
(Surah Luqman,ayat 34)
Ilmu Allah adalah ilmu yang berbentuk azali dan sarmadi, iaitu tidak terbatas dan tidak disempadani tempat dan masa tertentu.
Persoalan tentang penemuan teknologi reproduksi buatan bagi mendapatkan zuriat mula disentuh oleh sarjana islam,Dr. Ahmad al-Hajji al-Kurdi pada awal tahun 70-an. Tulisan beliau mengenai perkara itu disiarkan dalam salah satu keluaran majalah AL-Waa’yu AL-Islami yang diterbitkan di Kuwait pada masa itu. Dalam keadaan isu tersebut masih begitu baru dan belum mendapat perhatian ahli fikah,tuntutan bagi mendapatkan penjelasan terhadap persoalan tersebut begitu diperlukan bagi mengimbangi kemajuan sains dalam kehidupan yang cukup mencabar.
            Proses reproduksi buatan yang dinamakan juga ‘bayi tabung uji’ mengajak kita untuk membincangkan dan memikirkan adakah usaha bertentangan dengan pernyataan Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
                                           “Kami ciptakan manusia”

                            “Dia mengetahui apa jua dalam rahim wanita”

Setiap gerak usaha walaupun dikerjakan dengan kebijaksanaan manusia, hasilnya tetap bergantung kepada kudrat dan ketetapan Allah secara azali. Kejayaan sanitis perubatan dalam mengetahui jantina janin yang masih berada dalam rahim tidak sedikit pun memberi kesan terhadap pernyataan Allah ‘Dia mengetahui apa jua yang ada dalam rahim wanita’ secara mutlak.

SEJARAH BAYI TABUNG UJI
Saintis ulung,Ibnu Khaldun dan beberapa ahli falsafah islam sebelum beliau seperti Ibnu Sina dan al Farabi mencetuskan idea penciptaan manusia seumpama itu.Ibnu khaldun mengemukakan idea ini ketika beliau mmbahaskan perihal kimia mengikut pendapat generasi terdahulu dalam penulisan Muqaddimah beliau yang mashyur. Beliau menulis :
 “Berpegang kepada apa yang disebut oleh Ibun Sina,al-Farabi dan at-Toghrani,manusia berkemungkinan akan terbentuk daripada mani dalam    suasana tabii yang bersesuaian”.
Suansana tabii yang dimaksudkan oleh Ibnu Khaldun ialah rahim. Kemudian  dengan membuat pemerhatian dan penelitian kepada unsur-unsur,perbandingam,lingkungan dan aturan kejadian di dalam rahim,kita dapati bahawa kejadian manusia benar-benar terbentuk sebegini tanpa ada sebarang percanggahan dengan teori.”
Ibnu Khaldun ialah saintis Arab Muslim yang menerima andaian kejdian manusia daripada mani. Walau bagaimanapun, pandangan beliau masih agak kabur pada ketika itu lantaran pencapaian ilmu pada zaman itu belum melewati tahap penemuan sebagaimana hari ini.
Dalam memperkatakan sains kemanusiaan,Ibnu Khaldun menerima bahawa manusia terjadi melaui suatu proses yang kompleks. Kisah penemuan bayi tabung uji tersebar dengan meluas ketika itu sehingga pelbagai penyelidikan dan eksperimen dijalankan oleh doktor-doktor perubatan Amerika mengenainya. Satu percubaan memindahkan embrio berusia lima hari dari rahim ibunya ke rahim perempuan kedua dibuat. Janin ini hanya dikandung selama sembilan bulan dan berjaya dilahirkan oleh ibu kedua dengan selamat.
Kebanyakan kemandulan didapati berpunca daripada tiub fallopio yan tersekat sehingga menyebabkan ovari tidak dapat mengeluarkan ovum. Walau bagaimanapun, aplikasi penemuan ini dibantah oleh sebahagian sarjana kerana dikira sebagai perjanjian perut kontrak yang melibatkan penyewaan sementara rahim seseorang wanita kepada suami perempuan yang bermasalah untuk hamil. Melaui cara ini, bayi tersebut seolah-olah dibeli oleh perempuan yang mandul, kemudian dinasabkan kepada pasangan mandul tersebut secara tabanni, iaitu dengan menasabkan anak itu kepada pasangan itu. Jadi sanitis Amerika meneroka cara tersendiri dengan menjalankan proses persenyawaan di dalam rahim perempuan yang ingin menjadi ibu kepada bayi tersebut. Penemuan ini menyumbangkansuatu kemajuan dalam ilmu sains genetik. Dalam hal ini,empunya ovum tidak diiktiraf sebagai ibu kepada bayi yang dilahirkan,sebaliknya wanita yang mengandung dan melahirkan mendapat hak sebagai ibu.

Proses kejadian Tabung Uji

GAMBAR HIASAN
Menurut Dr. Mohamad Ali al-Bazz dalam penulisan beliau bertajuk ‘Kejadian Manusia antara Kemajuan Perubatan dan Penjelasan  Al-Quran’,proses kejadian bayi tabung uji secara zatnya sangat ringkas dan mudah.
Asas pembentukan:
    - Bermula dengan ovum yang dikeluarkan oleh ovari diletakkan di dalam radas khas dengan perlindungan cecair  fisiologi yang sesuai.
      - Kemudian sperma lelaki dicantumkan dengan ovum untuk untuk disenyawakan.
     - Apabila persenyawaan sempurna membentuk zigot,sel tersebut akan mmbahagi dua.
       - Kemudian membentuk empat sel dan seterusnya membentuk lapan sel.
      - Proses ini berlaku pada hari keempat selepas persenyawaan ,dan dinamakan tahap marula yang menyerupai bentuk buah mulberi.

                                                                                                           


3.0 PENGEKALAN ZURIAT MENGIKUT PERSPEKTIF SYARIAT ISLAM
Islam menggalakkan umatnya meramalkan zuriat melalui perkahwinan. Rasullah berkata yang bermaksud:
            “Berkahwin kamu,lahirkan zuriat dan ramaikan, sesungguhnya aku berbangga dengan (ramainya) kamu,umat(ku) pada hari kiamat.”
                                                                                       (Direkodkan oleh Nasa’i)
Persetubuhan adalah satu-satunya cara untuk melahirkan keturunan. Islam mensyariatkan satu wasilah terbaik untuk menghalalkan persetubuhan,dengan mewujudkan ikatan perkahwinan. Melalui peraturan suci ini sekalian umat dapat mengecapi keharmonian hidup yang sempruna.
Terdapat banyak nas yang memberi galakan kepada umat islam untuk berkahwin.Allah memberitahu dalam ayat yang bermaksud:
            “Dan di antara tanda0tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri,supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya,dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
(Surah ar-Rum,ayat 21)
3.1 Faedah Perkembangan Zuriat
    - Berusaha mencapai reda Allah dan Rasul dengan menambah keturunan yang menjadi kebanggaan Rasulullah pada hari kiamat.
     - Melahirkan anak-anak yang soleh yang dapat memohonkan kerahmatan untuk ibu bapa.
    - Anak yang soleh merupakan aset kekal setiap manusia yang mampu memberi kebajikan kepada diri mereka selepas mati. Pahala untuk mereka sentiasa bertambah melaui amalan yang dikerjakan oleh si anak beserta doa dan kesejahteraan yang dipohonkan.
    - Anak-anak yang meninggal ketika kecil menjadi taruhan yang dapat dimanfaatkan pada hari kiamat kelak dengan pengampunan dosa dan pemberian syafaat kepada ibu bapa mereka.

Kehamilan dan Masalah kemandulan.  
Kehamilan berlaku secara semula jadi melalui hubungan jenis antara suami isteri. Al-Ghazali menyebut dalam Ihya Ulumuddin,kehamilan lazimnya terjadi dalam empat peringkat yang saling memerlukan iaitu:
     Pernikahan melalui akad yang sah.
     - Terpancar air mani ke dalam rahim
     - Persetubuhan yang dilakukan dengan penuh sabar sehingga mencapai inzal.
     - Ditempatkan zakar kekal di dalam faraj.
Janin terjadi daripada percantuman sperma dan ovum melalui perantaraan zakar ,namun ketiadaan zakar juga memungkinkan berlakunya percantuman sperma dan ovum. Oleh kerana itu sarjana fikah menetapkan bahawa orang yang terpotong keseluruhan zakarnya masih mampu memperoleh anak selagi masih mempunyai testis. Maka isteri mereka diwajibkan iddah kerana mampu hamil melalui penempelan testi ke vagina sehingga terpancutnya mani.
Maka dapat disimpulkan bahawa perhubungan sejenis antara suami isteri berlaku secara tabii melaui pertemuan dua anggota seksual dengan dorongan naluri yang ada dalam jasad mereka.

Punca Kemandulan
Punca kemandulan lelaki:
   - Mati pucuk- ketiadaan upaya untuk melakukan hubungan seksual disebabkan oleh sesuatu penyakit.
      - Putus zakar- zakar yang terpotong kesemuanya atau sebahagian daripadanya dengan keadaan sudah tidak boleh digunakan untuk bersetubuh.
      - Ketiadaan testis atau kasi-terputus dan tercabut kedua-dua buah zakar  dengan keadaan zakar masih kekal di tempatnya.
Selain tiga sebab di atas ,mandul juga berlaku disebabkan oleh penyakit seperti radang yang kronik,telur yang tidak turun ke kantung telur,penyakit yang menyebabkan kekeringan dan kerencatan fungsi kelenjar serta gangguan kesihatan mental dan masalah ekonomi.
Punca kemandulan wanita:
     - Ratq – tersumbat bersedaging dan melekat atau faraj yang tersumbat dengan daging dan dapat dilihat pada bahagian luar.
     - Qurn –bertemu dua bahagian yang melitupi atau sesuatu yang terdapat  di dalam faraj perempuan seperti gigi yang menghalang persetubuhan.
      - Afl –bengkak yang terjadi di antara qubul dan dubur wanita yang baru melahirkan anak sehingga menyempitkan faraj dan tidak dapat dimasuki zakar.
Selain tiga sebab di atas,terdapat sebab-sebab lain yang menggagalkan kehamilan seperti radang yang berpanjangan pada uterus,pinturahim tersumbat,tiub fallopio tersekat,tumor rahim.

TEKNOLOGI REPRODUKSI BANTUAN

GAMBAR HIASAN SUNTIKAN SPERM  KE DALAM OVUM

Teknologi reproduksi bantuan atau bantuan penghamilan ialah rawatan kesuburan yang di beri kepada pasangan yang gagal mendapat anak melalui kaedah semula jadi. Pihak isteri perlu mendapatkan bantuan penghamilan apabila menghadapi masalah. Antara faktor-faktor yang memerlukan teknlologi reproduksi bantuan ialah:

4.1Faktor yang boleh dirawat tanpa bantuan penghamilan
     Kehilangan kesuburan pada lelaki atau perempuan akibat penyakit kelamin yang terjadi disebabkan perlakuan zina,liwat dan amalan seksual luar tabii.
    -Berlaku koyakan pada rahim,kehilangan darah yang banyak dan jangkitan kuman pada rahim akibat keguguran yang berlaku pada kehamilan sebelumnya.
     - Tiub fallopio,rahim dan pelvis mengalami radang akibat oenggunaan pil pencegah kehamilan atau akibat melakukan persetubuhan semasa haid.

4.2 Faktor yang memerlukan rawatan bantuan penghamilan
     - Kenadiran,kelemahan dan kekurangan sperma.
     - Kehadiran cecair pangkal rahim yang mematikan sperma.
      - Terdapat halangan untuk sperma masuk ke dalam saluran peranakan.
      - Kedudukan rahim yang beralih dari tempatnya.
       - Tiup fallopio tertutup.

4.3 Hukum Mengeluarkan Sendiri Cecair Sperma
Dalam menjalankan rawatan bantuan penghamilan,air mani suami atau kedua-dua suami dan isteri diperlukan. Pengeluaran sendiri cecair sperma menggunakan tangan disebut onani. Sebahagian daripaeda meraka mengharamkan perbuatan onani kerana termasuk dalam perlakuan maksiat dan mereka yang melakukannya boleh dikenakan hukum takzir atau denda. Sebahagiannya pula mengharuskannya dalam keadaan darurat,manakala sebahagian yang lain mengharuskan secara mutlak.

Penggunaan Manusia Dalam Eksperimen
Tujuan disyaratkan agama islam ialah untuk memastikan kesejahteraan manusia seluruhnya didunia dan di akhirat. Para ulama menggariskan tiga perkara utama yang dapat merealisasikan kesejahteraan manusia iaitu:
- Dharuriat (keperluan utama)
    Dharuriat ialah perkara yang diperlukan untuk hidup (keperluan vital). Imam asy-Syatibi mendifinisikan dharuriat sebgai unsur-unsur yang tidak perlu ada bagi mencapai kesejahteraan dalam beragama dalam beragama dan kehidupan dunia.
      - Ketiadaan unsur-unsur ini akan merencatkan ksejahteraan dunia,memporak-perandakan kehidupan,menyebabkan kemusnahan dan hilang matlamat hidup,sementara di akhirat akan mendapat azab sehingga manusia itu mendapat kerugian yang nyata.
- Hajiat (keperluan sampingan)
     Keperluan yang tidak mencacatkan kehidupan dengan ketiadaannya,tetapi dapat membuatkan manusia hidup dalam keadaan terhimpit dan menyusahkan.
      - Oleh yang demikian Islam memberi kelonggaran kepada umatnya bagi menghilangkan kesusahan itu. Contoh dibolehkan mereka meninggalkan puasa Ramadhan akibat sakit atau sedang bermusafir.

- Tahsiniat (keperluan tambahan)
     Penyempurnaan tatacara hidup dan menjauhi segala perkara yang menimbulkan kecelaruan dan tidak dapat diterima oleh akal yang waras.
      - Ringkasnya,tahsiniat ialah suruhan ke arah kemuliaan akhlak seperti larangan mencela orang lain,menipu,menyakiti orang lain dan memperagakan diri bagi wanita untuk menggoda kaum lelaki.
Menjaga kesejahteraan jiwa manusia adalah perkara yang menjadi maksud kewujudan syariat islam. Kerana itu, manusia di tuntut mendapatkan rawatan dan tidak membiarkan diri dihinggapi penyakit. Perkara ini bersesuaian dengan suruhan Rasulullah dengan katanya yang bermaksud:
            “Berubatlah,sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu penyakit kecuali ada cara untuk diubatkan,”
[Direkodkan oleh Abu Daud]

Etika Eksperimen
- Eksperimen yang dijalankan bermatlamatkan ke arah kemajuan ilmu pengetahuan.
 - Eksperimen yang sama tidak dapat dijalankan ke atas haiwan, atau sekiranya dijalankan ke atas haiwan tidak memberi hasil yang diingini.
- Penyelidikan mesti dihentikan sebaik sahaja hipotesis dibuat atau disahkan. Penggunaan manusia sebagai bahan eksperimen dilakukan seminima mungkin dengan kadar risiko terendah.
- Penyelidikan dilakukan oleh mereka yang layak,mempunyai pengalaman dalam corak penyelidikan yang dijalankan,mampu membuat analisis ilmiah dan bertanggungjawab menjaga individu yang terlibat daripada sebarang kemudaratan yang mungkin berlaku.
 - Individu yang terlibat sebagai bahan eksperimen perlu mengetahui secara sempurna tujuan eksperimen dijalankan dan segala risiko yang mungkin terjadi.

5.0 PERMANIAN BERHADAS
5.1Definisi
Permanian berhadas atau pesum dari segi bahasa bermaksud perbuatan menjantani haiwan yang boleh mengakibatkan kebungtingan. Sarjana fikahmendifinisikan istilah permanian beradas hanya dengan pelbagai takrif.

5.2 Persenyawaan Benih Dalaman
      Proses persenyawaan berlaku apabila cairan mani dipancarkan dari zakar ke dalam faraj. Proses persenyawaan sebegini berlaku sama ada secara semula jadi melaui persetubuhan atau melalui bantuan perubatan(tanpa persetubuhan).
      Persenyawaan benih secara bantuan perubatan adalah inisiatif bagi pasangan yang bermasalah untuk mendapatkan anak. Sperma dimasukkan ke dalam rahim isteri dalam keadaan isteri menelentang selama beberapa jam bagi membantu sperma bergerak ke arah ovum yang menanti di tiub fallopio.
     Proses ini dijalankan pada hari kesuburan berdasarkan pemeriksaan suhu badan wanita dan pusingan haid setiap bulan. Kehadiran ovum juga boleh diketahui dengan meletakkan sejenis kertas yang mengandungi bahan kimia tertentu di pintu rahim bagi mengesan kehadiran gula yang mengisyaratkan pengeluaran ovum.
     Proses pesum buatan juga dijalankan untuk pasangan yang ingin melahirkan anak mengikut jantina pilihan mereka. Doktor pakar akan mengasingkan spermayang menghasilkan anaklelaki atau perempuan sebelu proses persenyawaan dijalankan.

5.3 Persenyawaan In Vitro
      In vitro ialah proses persenyawaan yang dijalankan di luar rahim,yang mana percantuman sperma dan ovum dilakukan di dalam piring petri. Selepas berlaku beberapa tahap perkembangan sel di dalam piring petri,zigot yang terhasil dimasukkan ke dalam rahim ibu. Tumbesaran zigot berlaku dalam rahim ibu sehingga sempurna membentuk janin. Proses in vitro dijalankan apabila berlaku permasalahanseperti tiub pallopio tersumbat.

Penggunaan Sperma atau Ovum Pihak Ketiga
     Sekiranya suami tidak mampu menyediakan sperma,isteri memerlukan sumbangan daripada penderma bagi melakukan proses reproduksi buatan. Bagi tujuan itu,bank mani diwujudkan untuk membekalkan sperma hasil sumbangan pihak tertentu.
      Fenomena penggunaan mani lelaki asing ini pernah berlaku dalam sejarah kehidupan masyarakat Mesir dahulu kala. Wanita yang gagal hamil akan menemui bidan bagi mendapatkan rawatan. Bidan akan meletakkan cebisan kapas yang mengandungi air mani lelaki asing pada faraj wanita itu,tanpa diketahui oleh wanita terebut. Sekiranya penyebab gagal hamil itu disebabkan kemandulan di pihak suami,maka kenungkinan wanita itu untuk hamil adalah tinggi.
     Fenomena ini juga sinonim dengan nikah al-istibdaa yang berlaku secara meluas di kalangan bangsa Arab jahiliah sebagaimana yang direkodkan oleh Bukharidan Abu Daud.

Hukum Menyumbangkan Benih kepada Pihak Asing
Perkembangan terkini dunia perubatan mengajak kita untuk membicarakan apakah ada keharusan bagi insan ketiga menyumbangkan air maninya kepada pasangan yang bermasalah dalam mendapatkan anak. Lebih-lebih lagi mutakhir inti tertubuh bank-bank mani untuk menjaga dan mengurus sunbangan serta penggunaan mani untuk orang umum.
Islam merupakan agama yang mengiktiraf dan menjaga kehormatan seseorang individu dan tidak membiarkan sama sekali jasad dan jiwa manusia dinodai seluruhnya, walau dengan tangan pemilik jasad itu sendiri. Manusia sama sekali tidak boleh dizalimi,dibunuh,diseksa dan dibinasakan,diganggu ketenteramannya walau dengan satu kalimah.
Dalam hal ini, hukum yang terlaksana berlandaskan syariat dari langit sudah tentu berbeza dengan undang-undang ciptaan manusia. Sebahagian negara barat melarang ovum dan sperma diperdagangkan,tetapi membenarkan pendermaanmya. Islam yang menitikberatkan nilai kemuliaan dan syariat yang mencorak nilai kehidupan yang sebahagiannya tidak terjangkau dek pemikiran,tetap mengharuskan penggunaan mani dengan sewenang-wenangnya walaunpun setitik. Ini kerana,syarat asas untuk menentukan pemilikan ke atas sesuatu itu tidak bercanggah dengan syariat, aturan adat dan adab. Individu dan apa jua yang berkait dengan individu itu tidak boleh dimanfaatkan oleh orang lain sebaliknya hanya berhak dipergunakan untuk kegunaan sendiri sahaja. Pendermaan sperma dan ovum tidak boleh diqiaskan dengan keharusan menderma darah kerana derma darah diharuskan untuk keperluan darurat.

PERSPEKTIF SYARAK TERHADAP TEKNOLOGI REPRODUKSI BUATAN.
6.1Keharusan Reproduksi Buatan
Persenyawaan sperma suami dan ovum isteri yang dilakukan di dalam rahimi isteri adalah harus hukumnya apabila pasanganitu tidak dapat menghasilkan anak secara semula jadi. Namun perlu dipastikan bahawa sperma yang disenyawakan benar-benar milik si suami dan tidak perlu dipastikan bahawa sperma yang disenyawakan benar-benar milik si suami dan tidak berlaku pertukaran dengan sperma orang lain. Perkara ini penting bagi memastikan anak yang lahir terhasil daripada mani yang halal di dalam kedua-dua perihal.iaitu perihal keluar dan perihal dimasukkan ke dalam rahim. Anak yang memenuhi ketetapan tersebut akan sabit nasab sebagaimana anak yang terhasil daripada persetubuhan berdasarkan pandangan daripada pendapat-pendapat sarjana fikah.
Menurut pendapat mazhab Hanafi,memasukkan mani ke dalam rahim wanita tanpa memasukkan zakar atau menggunakan sebarang alat dapat diterima akal dan syarak. Oleh yang demikian,bagi lelaki yang terpotong keseluruhan batang zakarnya masih sabit nasab ke atasnya kerana air maninya dapat dimasukkan ke dalam faraj secara temeplan dan pancutan. Syarat mani yang diwajibkan iddah dan disabitkan nasab hendaklah halah dalam perihal inzal(keluar dari testis) dan perihal isidkhal atau persenyawaan dilakukan.
Menurut pendapat mazhab Maliki,akal dan syarak menerima kemasukan mani ke dalam faraj dengan kemasukan batang zakar atau tanpa kemasukan. Kemasukan mani itu disabitkan iddah. Tidak wajib mandi ke atas perempuan apabila masuk mani ke dalam farajnya tanpa melakukan persetubuhan,melainkan terjadinya orgasme atau terjadi kehamilan. Apabila anak itu lahir,maka dia disabitkan ke atas ibunya dan sabit pertalian dengan suami ibunya atau tuan ibunya atau empunya mani(dalam hal persetubuhan syubhat) sekiranya dapat dipastikan anak itu terhasil daripada mani siapa. Sekiranya tidak diketahui pemilik mani itu, maka wanita itu patut dikenakan hukuman hudud dan anak yang terhasil tidak dikira daripada persetubuhan syubhat.
Menurut pendapat mazhab Syafie pula,memasukkan manike dalam faraj dihukumkan sama seperti persetubuhan dalam mewajibkan idddah dan sabit nasab kerana lebih memungkinkan kehamilan berbanding semata-mata memasukkan zakar. Demikian juga sabit nasab kepada lelaki yang terpotong zakarnya dalam keadaan testis masih ada kerana inzal boleh berlaku dengan tempelan. Namun disyaratkan bahawa kemasukan mani itu halal dengan mengambil kira perihal keluar dan masuk mani sebagaimana disepakati sesetengah sahabat,dan sesetengah mereka berpendapat halal diambil dikeluarkan dari testis tanpa melibatkan perbuatan haram dan sempurna disenyawaakan di dalam rahim dengan cara halal id sisi syarak.
Dalam mazhab hambali pula,  dapat diterima akal untuk mani masuk ke dalam faraj tanpa kemasukan zakar. Meraka berpendapat mani yang halal diambol kira perihal keluar sahaja tanpa disyaratkan perihal dimasukkan ke dalam rahim. Mani halal yang dimasukkan ke dalam rahim apabila menghasilkan anak disabitkan nasab dan iddah ke atas ibu. Manakala memasukkan mani ke dalam rahim wanita asing tidak dikira zina, maka tidak perlu dikenakan hukuman hudud.
Daripada pendapat-pendapat sarjana fikah ini dapat disimpulkan bahawa:
      - Sabit nasab selagi anak yang dilahirkan terhasil dalam ikatan perkahwinan yang sah,atau terhasil daripada persetubuhan nikah fasid dan persetubuhan syubhat,berdasarkan perkiraan syarak yang menetapkan nasab kepada empunya ranjang.
     - Nasab,iddah dan rujuk disabitkan dengan memasukkan mani yang halal,sebagaimana disabitkan nasab,iddah dan tempoh rujuk pada anak yang terhasil daripada persetubuhan.
    - Memasukkan mani tanpa kemasukan zakar ke dalam rahim diharuskan syarak serta diterima akal selagi ada ikatan yang sah.
    - Mani halal diambil perkiraan mengiktu perihal keluar dan masuk ke dalam faraj sebagaimana disepakati dan ditarjih,dengan apa cara sekalipin termasuk dengan menyetubuhi dubur isteri. Apabila isteri memasukkan mani tersebut atau meleleh ke dalam farajnya,sabit nasab anak kepada si suami,kerana dikira mani tersebut halal hasil persetubuhandengan isterinya.

6.3Larangan Reproduksi Buatan
     Persenyaaan bantuan antara sperma dan ovum bukan suami isteri
Kesemua proses persenyawaan bantuan antara sperma dan ovum daripada pasangan yang tidak mempunyai ikatan perkahwinan adalah dilarang di sisi syarak. Larangan ini berlaku ke atas zigot yang dibesarkan dalam kandungan isteri mahupun ibu tumpangan,kerana dikhuatiri membawa kepada kecelaruan nasab.
Proses persenyawaan sebegini dianggap seumpama perlkuan zina walaupun tidak berlaku persetubuhan. Pihak pemerintah perlu menetapkan satu hukuman takzir yang sesuai bagi menghalang perkara ini dilakukan demi menjaga keturunan yang begitu dititkberatkan oleh syarak.
       Persenyawaan buatan ke atas perempuan yang tidak bersuami
Persenyawaan buatan yang dilakukan ke atas perempuan yang tidak bersuami adalah haram hukumnya kerana terpaksa menggunakan sperma lelaki asing. Prses persenyawaan sebegini tersebar dengan meluas di negara-negara Eropah selepas bercambahnya firma penjagaan mani yang berperanan menjual mani golgongoan cendekiawan,jaguh olah raga,artis terkemuka dan penerima anugerah antarabangsa.
Fenomena sebegini sebenarnya bukan perkara yang baru dalam kehidupan manusia. Realitinya,pernikahan istibdaa yang terkenal pada zaman jahiliah kembali dipraktikkan oleh generasi kini dengan konsep yang lebih luas di negara yang mendakwa kononnya mereka terkehadapan dalam kemajuan hidup.
      Persenyawaan bantuan antara sperma dan ovum pasangan suami isterri untuk dibesarkan dalam rahim ibu tumpangan
Persenyawaa yang dijalankan di luar rahim antara benih suani isteri untuk dibesarkan dalam kandungan ibu tumpangan adalah tidak diharuskan. Proses sebegini biasanya dijalankan apabila isteri tidak mempunyai rahim yang baik untuk mengandung atau sengaja tidak mahu mengandung. Ibu tumpangan atau rahim sewaan adalah bercanggah dengan peraturan syariat.

KESIMPULAN
Sesungguhnya para ulama’ dan pengamal undang-undang masih membincangkan perkara ini dan tidak bersepakat dalam menentukan hokum dalam masalah yang disebutkan tadi. Di Barat, terdapat aliran yang kuat memberikan hak kepada ibu yang melahirkan contohnya di Britain. Manakala di California, pemilik benih dikira sebagai ibu sebenar dari sudut undang-undang.Di Itali, undang-undang melarang penyewaan rahim tetapi menerima sekiranya dengan kerelaan individu sendiri. Suatu persoalan yang boleh ditimbulkan di sebalik permasalahan sewa rahim ini : Tidak adakah kaedah lain yang boleh digunakan bagi mengatasi masalah isteri yang tidak dapat mengandung sedangkan beliau berkeinginan memiliki anak selain daripada penyewaan rahim? Segalanya mungkin dengan perkembangan teknologi terbaru dalam bidang perubatan moden.Namun, ternyata apabila manusia tidak menjadikan agama sebagai pegangan dan akhlak sebagai benteng, berlaku pelbagai kepincangan yang mengundang kemusnahan dan kecelaruan kepada institusi masyarakat.

 _____________________________________________________________________________________________

RUJUKAN.

     Al-Quran Al-Karim.

     Al-Hadith.
^^Terjemahan Hadis Shahih Bukhari; cetakan 2008, Terjemahan
Shahih Muslim.

     Hasri Omar,
 ^^Zuriat Biologi, PTS.

     Radin Seri Nabahah bt Ahmad Zabidi,
   ^^Kertas kerja Penyewaan Rahim Menurut Pandangan Islam, Al- Faqirah Ilallah, Feb 2004.

      As-Sin’ani, Al-Imam Muhammad Ismail al-Kahlani,
     ^^Subul as-Salam Syarah Bulugh al-Maram, Beirut,Dar Sodir,1992.

      Arif Ali Arif (Dr), Al-Ummu Al-Badilah (au Ar-Rahmu Al-Musta’jir)
Ru’yah Islamiyyah.

      Kumpulan Pensyarah Kuliah Syariah Wal Qanun,Universiti
    ^^Al-Azhar Kaherah, Qadaya Fiqhiyyah Muasirah, Kaherah, Al-Azhar, 2002.

      Al-Qaradhawi, Yusuf,
    ^^Fatawa Al-Muasarah , Kaherah,Dar al-Qalam, Juz 1,1998.

     Muhammad Ali Al-Bar,
  ^^Khalqul Insan Baina At-Tib Wa Al-Quran,Jeddah, Dar As-Sa’udiah, 1999

     Dr. ‘Ablah Muhammad Al-Kahlawi,
    ^^Dirasat Fiqhiyyah Muasirah, Kaherah, Universiti Al-Azhar (far’ul banat),2001

Muhammad Bakar Ismail,Prof.Dr.,Al-Qawaid,
    ^^Al-Fiqhiyyah Baina Al-Asolah wa At-Taujih ,Kaherah, Dar Al-Manar,1997.

Yusuf Hamid Al-Alim, Dr, Al-Maqasid,
    ^^al-‘Ammah li As-Syariah Al-Islamiyyah,Kaherah, Dar Al-Hadith.

Majalah Al-Azhar,
    ^^keluaran Jun 2001, Julai 2001, Mac 2003.

       Majalah Al-Wa’yu Al-Islami,
         ^^Ogos 2001.

     Tuan Haji Razali Bin Shahabudin,
  ^^Pembentangan Kertas Kerja Bagi Majlis Muzakarrah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Mengenai bagaimana hendak mengistinbat hukum bagi ibu tumpangan (Surrogate Motherhood), Jilid 6, 2008




No comments:

Post a Comment

Komentar

Past Stories

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...